Pada minggu ini, saya telah diperlihatkan beberapa contoh video yang boleh dihasilkan bagi tugasan berkumpulan. Terdapat beberapa jenis video yang dapat dilakukan seperti video demonstrasi, karaoke dan dokumentari. Setelah melihat semua contoh yang diberikan, kami telah berbincang untuk menghasilkan video kumpulan kami. Terdapat beberapa idea yang telah diutarakan namun masih tiada kata sepakat yang dapat dicapai. Akhirnya kami telah bersetuju untuk mengadakan satu lagi perbincangan pada keesokan harinya untuk mencari kata putus bagi tugasan berkumpulan kami. Selain itu, kami juga telah menunjukkan borang kaji selidik yang telah kami sediakan bagi tujuan penambahbaikkan.

Di dalam kuliah, kami telah diberi tugasan untuk mancari teknik power point casper. Teknik ini dapat memudahkan lagi penggunaan power point bagi tujuan pengajaran pada masa akan datang. Selepas itu, kami dipertontonkan dengan dua video berkenaan dengan cabaran dan pengalaman yang dihadapi oleh guru-guru yang mengajar di pedalaman. Ternyata menjadi seorang guru adalah amat mencabar. Guru-guru tersebut terpaksa menghadapi pelbagai halangan yang amat mencabar sebelum sampai di sekolah. Antaranya adalah, mereka terpaksa merentasi sungai yang dipenuhi dengan kayu yang terapung dan terpaksa mendaki bukit selama 8 jam sebelum sampai di sekolah. Pada mulanya saya tidak berhasrat lansung untuk mengajar di tempat-tempat seperti itu. Namun setelah melihat semangat anak-anak di sana yang dahagakan ilmu, saya menjadi lebih bersemangat untuk turut mengikut jejak langkah para guru tersebut. Alah bisa tegal biasa. Itulah perumpamaan yang dapat saya katakan tentang cabaran yang dihadapi oleh guru-guru tersebut. Tiada halangan yang dapat menghalang para guru untuk mendidik anak bangsa supaya menjadi orang yang berguna di masa hadapan dan sekaligus meribah cara hidup keluarga mereka kepada yang lebih baik dan sempurna.